
Magma Group Bhd akhirnya mengesahkan bahawa Datuk Seri Lee Hock Seng, pengerusi eksekutif kumpulannya, sedang disiasat pihak berkuasa dalam skandal MBI International yang semakin membelit ramai tokoh korporat berprofil tinggi.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam (25 Ogos), Magma cuba menjauhkan syarikat itu daripada kemelut tersebut dengan menegaskan siasatan ke atas pengerusinya Lee “langsung tidak ada kaitan dengan operasi atau anak-anak syarikat Magma”.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas pendedahan The Corporate Secret (TCS) pada 16 Ogos yang mendedahkan nama Lee dengan siasatan meluas melibatkan beberapa taikun besar terbabit dalam skim pelaburan kontroversi MBI.
“Lembaga pengarah mengesahkan Lee kini sedang membantu pihak berkuasa dalam siasatan yang dirujuk artikel tersebut. Perkara ini tidak berkaitan dan tidak melibatkan perniagaan atau operasi Magma,” kata syarikat itu.
Cuba yakinkan pelabur
Meskipun pengerusi mereka dikaitkan dengan skandal kewangan yang sudah lama menimbulkan tanda tanya, Magma menegaskan ia tidak menjejaskan kedudukan kewangan, operasi harian, mahupun rancangan strategik syarikat.
“Kami ingin meyakinkan pemegang saham, rakan kongsi dan pihak berkepentingan bahawa isu ini tidak menjejaskan projek-projek semasa, kedudukan kewangan ataupun prospek masa depan Magma,” kata kenyataan itu lagi, sambil menegaskan fokus syarikat kekal kepada strategi pertumbuhan dan penciptaan nilai mampan.
Komitmen atau ‘damage control’?
Magma juga berjanji akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat perkembangan material, sambil menekankan kononnya syarikat komited pada ketelusan dan tadbir urus korporat.

Sehingga jam 3.50 petang, saham Magma dilaporkan merosot 29% dalam satu hari dagangan.
Sejak 16 Ogos 2025, iaitu selepas pendedahan penglibatan Lee dalam siasatan SPRM, saham Magma telah menyusut sebanyak 45% daripada nilainya.
Namun, pengakuan ini sekaligus mengesahkan bahawa tokoh utama Magma kini memang berada di bawah radar pihak berkuasa, meskipun syarikat cuba mengurangkan kesan reputasi dengan penafian keras.