KUALA LUMPUR: Pimpinan Ehsan Berhad (PEB) kini berada di ambang penggantungan dagangan dan penyah-senaraian daripada Bursa Malaysia, selepas Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab berhubung kegagalan syarikat itu menyelaraskan kedudukan kewangannya sebagai Syarikat Tunai (Cash Company) dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia bertarikh 16 Januari 2026, PEB memaklumkan bahawa Bursa Securities telah memberikan lanjutan tempoh terakhir sehingga 30 Jun 2026 untuk syarikat mengemukakan pelan penyelarasan (regularisation plan) kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendapatkan kelulusan.
Bagaimanapun, Bursa Securities menegaskan bahawa sekuriti PEB akan digantung dan dinyah-senarai sekiranya syarikat gagal memenuhi mana-mana syarat utama yang ditetapkan, termasuk kegagalan mengemukakan pelan penyelarasan dalam tempoh lanjutan, gagal memperoleh kelulusan, tidak berjaya dalam rayuan, atau gagal melaksanakan pelan tersebut dalam tempoh yang diluluskan.
Sekiranya mana-mana keadaan itu berlaku, dagangan saham PEB akan digantung pada hari pasaran keenam selepas notis penggantungan dikeluarkan oleh Bursa Malaysia. Penyah-senaraian pula akan dilaksanakan tertakluk kepada pematuhan syarikat terhadap keperluan pengagihan baki tunai kepada pemegang saham secara pro-rata, seperti yang diperuntukkan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Bursa Securities turut mengarahkan PEB supaya, sekiranya dinyah-senarai, mengumumkan cadangan pengagihan semua wang dan kepentingan yang telah didepositkan kepada pemegang saham dalam tempoh dua bulan, dan menyelesaikan pengagihan tersebut dalam tempoh enam bulan selepas pengumuman dibuat.
Walaupun PEB masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh lima hari pasaran selepas menerima notis penyah-senaraian, Bursa menegaskan bahawa dagangan saham akan tetap digantung pada tarikh yang ditetapkan, tanpa mengira keputusan rayuan yang masih menunggu.
Dalam menjelaskan keputusannya, Bursa Securities mendedahkan bahawa PEB telah diberikan lebih tujuh tahun sejak pengumuman pertama pada 31 Mei 2018 untuk menyelaraskan kedudukannya, namun gagal berbuat demikian walaupun tempoh dan peluang yang mencukupi telah diberikan.
Menurut Bursa, keperluan penyelarasan bagi Syarikat Tunai adalah penting bagi menjaga kualiti pasaran, integriti sistem penyenaraian serta keyakinan pelabur, dan kegagalan berpanjangan PEB untuk mematuhi keperluan tersebut tidak lagi boleh ditoleransi.
Perkembangan ini meletakkan Pimpinan Ehsan Berhad dalam fasa kritikal, dengan tempoh sehingga 30 Jun 2026 dilihat sebagai peluang terakhir untuk menyelamatkan status penyenaraian syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Berdasarkan rekod pemegangan saham dan kepentingan substansial, Lim Beng Guan merupakan pemegang saham terbesar serta pengawal sebenar Pimpinan Ehsan Berhad (PEB) melalui struktur pemilikan secara langsung dan tidak langsung melalui syarikat. Secara langsung, beliau memegang 3,236,057 saham bersamaan 4.680% kepentingan dalam PEB.
Namun yang lebih signifikan, Lim Beng Guan turut mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 25,854,851 saham atau 37.402%, yang dipegang melalui Pitahaya (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat di mana beliau memiliki 100% hak mengundi, sekali gus menjadikan kepentingan tersebut sebagai deemed interested di bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 2016. Struktur ini menempatkan Lim Beng Guan bukan sahaja sebagai pemegang saham individu, tetapi sebagai beneficial owner dominan yang mengawal blok saham terbesar PEB melalui entiti korporat, memberikannya pengaruh menentukan terhadap kawalan dan hala tuju strategik syarikat.


