KUALA LUMPUR, 15 Jan — Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) membatalkan perjanjian jual beli saham (SSA) melibatkan pelupusan keseluruhan pegangan ekuitinya dalam empat syarikat dengan nilai pertimbangan berjumlah RM74 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu memaklumkan bahawa pembatalan perjanjian tersebut dibuat selepas pihak pembeli gagal mendapatkan pembiayaan daripada sebuah institusi kewangan bagi membiayai sebahagian daripada pemerolehan saham berkenaan.
Menurut CHGP, pembeli tidak berjaya memperoleh pinjaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada harga jualan dalam tempoh penyempurnaan yang telah dilanjutkan, yang berakhir pada 14 Januari 2026. Susulan kegagalan memenuhi syarat pembiayaan tersebut, SSA bertarikh 14 Ogos 2025 itu telah dibatalkan pada 14 Januari 2026.
Sehubungan itu, CHGP memaklumkan bahawa syarikat dan pembeli telah bersama-sama bersetuju untuk membatalkan serta menarik balik perjanjian jual beli saham berkenaan.
Empat syarikat yang terlibat dalam cadangan pelupusan tersebut ialah Boon Koon Vehicles Industries Sdn Bhd, BKCV Sdn Bhd, Boon Koon Fleet Management Sdn Bhd dan BK Fleet Management Sdn Bhd.
